Wednesday, November 03, 2004

Pasar Ramadhan Putrajaya

14 Ramadhan 1425
Salam
Semalam aku ke Pasar Ramadhan Putrajaya berhadapan bangunan Kementerian Kewangan. Pada dasarnya aku tidak bersetuju Pasar Ramadhan diadakan di satu kawasan sahaja untuk seluruh Putrajaya. Aku lebih gemar seandainya, setiap Presint mengadakan Pasar Ramadhan yang tersendiri. Pada aku, melawat pasar yang berlainan atau berselang-seli mengikut hari menambah kepelbagaian dan pilihan. Sekurang-kurangnya suasana yang sedikit berbeza menambah warna kehidupan di petang Ramadhan.
Namun aku faham keputusan yang dibuat Perbadanan Putrajaya. Pada tahun ini, Pasar Ramadhan diadakan di tempat letak kereta (sebenarnya tapak bangunan komersil yang belum dibangunkan mengikut kata Salleh hujung bulan lepas) yang luas di Presint 2. Pasar ini jauh lebih selesa dari pasar-pasar Ramadhan yang pernah aku kunjungi. Maksud aku, suasananya lebih menyenangkan. Baik untuk peniaga, mahupun pengunjung. Ruang di antara peniaga, tidak terlalu rapat. Ini membenarkan peniaga bergerak dengan mudah untuk melayan pelanggan. Dan tentu sahaja, menyimpan barangan tidak menjadi satu permasalahan.
Dan...jika dikhabarkan ruang untuk pengunjung....amat-amat selesa sekali. Seandainya lori dibenarkan lalu sekali pun, aku kira, pengunjung masih boleh berlegar-legar tanpa masalah. Situasi ini berbeza sekali dengan pasar-pasar Ramadhandi tempat lain yang pernah aku kunjungi. Di Pantai Dalam sebagai contoh, keadaan umpama perarakan thaipusam ke Batu Cave. Di Saujana Impian (2 tahun lalu, tahun ni aku tak sampai kat sana)pun hampir sama. Mungkin tidak sesesak di Pantai Dalam tapi masih beresak-esak memandangkan bilangan gerainya yang jauh lebih kecil.Pasar Ramadhan di Bangi, membuatkan aku hampir serik membawa anak kecil (Laila dan Laili) ke tempat sedemikian. Pengunjung seakan tidak hiraukan kehadiran kanak-kanak di sana. Beberapa kali anak aku dilanggar dan seakan-akan kesalahan yang dilakukan tidak langsung disedari. Jauh sekali ungkapan memohon maaf. Pendek kata, ibubapa perlu sentiasa perhatikan anak-anak kecil jika tidak mahu mereka menjadi mangsa atau mungkin tersesat kerana terpisah dari penjaga.
Pakir tidak sedikit pun menjadi perhitungan untuk pengunjung Pasar Ramadhan Putrajaya berbanding dipasar-pasar lain. Walaupun masih ada pengunjung yang meletak kereta mereka di tepian jalan (walhal masih ratusan petak yang kekosongan), lalu lintas masih di dalam kawalan berikutan jalan di persekitaran pasar ini agak luas.
Pilihan juadah boleh dikatakan setanding dengan pasar ramadhan di tempat-tempat lain yang terkenal. Setakatini, apa sahaja yang anak aku hendak, boleh aku dapatkan di situ. Dan jika ada yang ingin berkunjung ke situ, aku mencadangkan nasi beriani atau nasi tomato Pak Yop (Gerai No. 16 dan 17). Cubalah rendangn yang berwarna hitamnya. Laila yang tak tahan pedaspun licin pinggan dibuatnya. (Nota : selera masing-masing).
Buat kami di Putrajaya, ianya juga tempat 'pertembungan'. Jumpa Zakri dan Zamri. Kalau kenalan lain tu biasalah. Clients aku boleh dikatakan asal pergi aje, mesti jumpa.Kepada yang pergi dua atau tiga hari lepas, mereka mungkin bertembung dengan Abdullah Badawi. Dan semalam, aku sempat bersalam bersama Mahathir. kali ini aku pastikan aku yang memberi salam dan menghulurkan tangan kepada beliau. Ramai juga yang bersalaman dengan beliau pada kali ini, tidak seperti tahun yang lalu. Mungkin faktor cuaca yang lebih baik pada kali ini. Siti Hasmah pun ada bersama. Pemandu atau pengawal peribadi tidak kelihatan.
Ramli AR

No comments: