Tuesday, June 19, 2007

Chee Poh

3 Jamadil Akhir 1428
Salam

Pada tahun 1978 bapa aku dipindahkan ke Felda Cini 3 di Pahang. Aku terpaksa berpindah ke kampung aku di Kelantan dan tinggal bersama Gemulah (arwah) Tok Ayah dan Nenek. Felda Cini masih belum dilengkapi dengan kemudahan persekolahan.

Di kampung aku, ada satu keluarga cina berniaga barangan runcit. Aku dimaklumkan, mereka tinggal di situ sejak berbelas tahun dahulu. Aku kenali cina itu dengan nama Ben Huat. Mungkin kerana tidak pernah berinteraksi dengan dia secara terus, aku tidak pernah ingat memanggil dia dengan gelaran lain. Apabila bercerita, aku tidak menggunakan apa-apa panggilan lain seperti Pakcik atau Uncle pada nama itu. Cuma Ben Huat. Mudah sahaja.

Isteri Ben Huat pula tidak aku kenali namanya. Aku cuma panggil 'Mek'. Apabila aku merujuk isteri Ben Huat sebagai orang ketiga, aku akan sebut Mek Ben Huat. Ben Huat mempunyai anak yang ramai. Mungkin 7 atau 8. Aku kurang pasti. Sekurang-kurangnya seorang meninggal dunia semasa umur awal belasan tahun kerana kemalangan di dalam kedainya, mengikut cerita ibuku. Ibu dan ayah adalah antara yang pergi membantu.

Chee Poh adalah satu-satunya anak Ben Huat yang aku rapat. Dia setahun lebih tua dari aku. Agak banyak aktiviti yang kami lakukan bersama-sama. Bukan sahaja setakat bermain takraw dan badminton diwaktu petang. Kami ke baruh (sawah) menahan tauk (tajo) dan menimba (mengeringkan lopak/lubuk) ikan dan berbagai lagi.

Jika tidak kerana kulitnya yang cerah dan matanya yang sepet, Chee Poh, mungkin dikira sebagai melayu. Loghat Kelantannya lebih bagus dari aku (yang membesar di Pahang semenjak berusia 3 tahun). Kadang-kadang, dia sendiri seakan menganggap dirinya melayu.

Pernah dia meluahkan rasa gementar untuk menempuh alam 'darjah 6' kerana nanti kena sunat (khatan). Kalau tidak, tak boleh kahwin, katanya. Semasa kami merayau di hutan di pinggiran kampung mencari telur kura-kura, Chee Poh yang paling ambil berat tentang halal atau haram memakan telur kura-kura. Pernah dia menolak untuk makan telur kura-kura sehingga aku mendapatkan hukum (halal) dari Gemulah Tok Ayah.

Menjelang senja, Chee Poh sering ingatkan kami untuk balik awal. Balik bersiap-siap untuk sembahyang ghorek (maghrib) katanya. Chee Poh kadang-kadang melaungkan azan apabila kami degil dan enggan berhenti dengan aktiviti sedang kami lakukan. Tak baik berada di luar rumah semasa ghorek, sete (syaitan) banyak, kata Chee Poh.

Chee Poh juga minat belajar silat. Pernah dia mengadu pada aku kerana tidak diterima sebagai murid. Dia marah kerana mengucap (dua kalimah shahadah), fatihah, an Nas, selawat semua dia boleh baca. Dia rasa dia layak belajar silat. Aku pada usia 10 atau 11 tahun tidak pandai untuk menerangkan keadaan sebenar pada Chee Poh. Aku hanya mencadangkan agar dia belajar dengan guru yang lain dan itulah yang kami lakukan. Chee Poh dan aku berguru dengan Abang aku. Segala bacaan diabaikan untuk Chee Poh.

Bila ada kutipan derma, Chee Poh turut sama berderma. Nak jadikan bekalan di akhirat katanya. Kami berkawan sehingga akhir 1979. Aku berpindah sekali lagi. Kali ini ke Paka, Dungun, Terengganu. Semenjak itu, aku tidak lagi berhubung dengan Chee Poh. Entah di mana dia sekarang. Ben Huat juga tidak lagi tinggal di Kampung aku. Kedai runcitnya sudah bertukar menjadi sebuah kedai makan.

Chee Poh dalam senarai kawan yang hilang.

Ramli AR

Pergi ke http://kickdefella.wordpress.com/2007/06/18/chinese-culture-and-heritage-festival-2007/ untuk maklumat/gambar-gambar festival budaya dan peninggalan cina di Kelantan.

No comments: