Saturday, June 07, 2008

Pohon Seribu Guna

4 Jamadil Akhir 1429
Salam

Pertengahan bulan lalu, kami ke Melaka menghadiri kenduri anak buah, Uswardi. Minggu lalu, giliran keluarga kami pula menyambut menantu. Majlisnya ringkas sahaja. Hampir semua, diuruskan keluarga dan jiran terdekat sahaja.

Sekadar sekawah gulai daging dan sekawah kerutuk ayam. Diserikan dengan acar umbut kelapa, solok lada, ikan kering dan sambal. Tembikai menjadi pilihan sebagai pembasuh mulut.

Acar kelapa amat menyelerakan tetapi agak sukar untuk disediakan sekiranya mengambilkira pohon yang mesti ditebang terlebih dahulu. Tebang pula tidak boleh sebarang tebang. Ke arah sini, mungkin mengorbankan sepohon dua duku dan manggis. Ke arah sana, salak dan rambutan dan berbagai lagi.

Mahu tidak mahu, seorang mesti panjat dahulu dan memotong pelepah kelapa untuk meminimumkan korban apabila tumbang nanti. Kemudian batang kelapa dipotong sekerat demi sekerat untuk mengelak dari terkena pagar jiran sebelah.

Batang kelapa dikerat pada ukuran tertentu dan dijadikan tunggul kawah. Pelepah kelapa dijadikan sudip untuk mengacau gulai. Selebihnya dijadikan alas duduk tempat persiapan memasak. Lidinya diraut sebagai pelibas lalat. Kelapa muda menjadi penghilang dahaga dan penjamu selera sambil memasak.

Tempurung kelapa tua dan isinya yang kering dijadikan pemula semasa menyalakan unggun di bawah kawah. Kelapa yang tidak begitu muda dan tidak pula begitu tua diparut dan dibuat lempeng. Air kelapa dicampur sekali. Tidak menang tangan, orang yang menggoreng. Siap satu... habis. Siap satu... habis.

Santan sememangnya menjadi bahan utama gulai melayu. Tanpa santan, berani dikatakan, tidak ada melayu yang sanggup menggulai. Kelapa parut dan isi ikan menjadi bahan utama solok lada. Kelapa parut putih digaul sedikit garam dan gula dimakan bersama pulut.

Tentu sahaja pelbagai lagi gunanya.....

Ramli AR