Monday, July 13, 2009

Manggis

20 Rejab 1430
Salam

Semasa kecil-kecil dulu, pada umur 10 atau 11 tahun, aku tinggal di kampung bersama nenek dan Tok Ayah (datuk). Seringnya aku tidur di madrasah dan jarang sekali aku bermalam di atas rumah.

Di tepi madrasah ada tiga pohon manggis (atau dikenali sebagai 'sto' iaitu singkatan dari 'sementa') yang biasanya berbuah lebat setiap musim. Biasanya pada bulan julai atau ogos. Di antar ketiganya, yang paling hampir dengan tangga madrasah adalah kegemaran aku.


Pohon itu aku jadikan markas tempat aku beristirehat sambil membaca buku dan novel kegemaran. 'Tiga Penyiasat', 'Lima sekawan' dan lain-lain aku habiskan di atas pokok manggis itu. Berlantaikan beberapa keping papan, agak sering aku terlena di situ.


Di zaman itu, aku agak angkuh. Aku biasanya tidak makan manggis yang telah jatuh ke tanah. Seupaya mungkin, aku akan 'rungkas' (panjat) dan memetik sendiri buah yang aku kehendaki. Sehujung mana pun akan aku capai. Badan aku yang kurus dan tangan aku yang agak panjang memungkinkan aku ke'agah'an aku tercapai.

Sekarang, pada berat badan 88 kg, aku sekadar memetik dari bawah, mana-mana yang boleh. Angan-angan untuk memanjat terpaksa aku pendam jauh di lubuk hati. Mungkin galah boleh menjadi penawar diri.

Ramli AR








Saturday, July 11, 2009

Lempok

18 Rejab 1430
Salam

Pada musim durian memuncak, harganya menjadi murah. Apatah lagi sekiranya durian pula 'menjadi'. Lambakan membuatkan pekebun tawar hati. Bekalan terlalu banyak sedangkan durian tidak mampu dimakan dalam kuantiti yang banyak.

Pada keadaan begini, biasanya pelbagai cara dilakukan untuk mengelak dari durian terbuang. Ada yang menjadikannya tempoyak dan tidak kurang menjadikan lempok sebagai pilihan.

Lempok tidak susah disediakan. Cuma menuntut sedikit usaha dan kesabaran. Ramuan tidak banyak. Sekadar durian, gula dan garam. Semuanya secukur rasa. Tidak suka manis, kurangkan gula. Masinnya hanya sekadar mengenakkan rasa.

Sedikit mencabar kerana api dipasang perlahan untuk mengelakan dari lempok menjadi berkerak. Lebih lama lempok dikacau, lebih lama lempok bertahan. Lebih banyak gula juga, membolehkan lempok tidak basi dalam jangka masa yang lebih lama.


Ramli AR