Sunday, November 09, 2008

Roti Canai Pok Ku Mat

12 Zulkaedah 1429
Salam


Roti Canai Pok Ku Mat tidaklah sepopular laksam Bidah. Ianya sekadar pelengkap kepada keperluan sarapan di Kampung Telosan. Pok Ku Mat juga bukan seorang pakar roti canai, malah menebar roti canai pun hanya sekadar boleh sahaja.

Tapi entah kenapa, roti canai Pok Ku Mat boleh dikatakan laris setiap pagi. Mula berniaga sekitar jam 7 pagi, biasanya roti canai Pok Ku Mat habis menjelang jam 8.30 pagi.


Ada yang memuji keenakan kuah dalca Pok Ku Mat. Ada yang memilih roti canai Pok Ku Mat kerana harganya. Tidak kurang yang ke kedai Pok Ku Mat kerana keramahannya. Agak jarang yang memuji kepakarannya.

Satu ketika dulu, Pok Ku Mat adalah satu-satunya penjual roti canai di Kampung Telosan. Tidak ada saingan. Tidak hairanlah, roti canai Pok Ku Mat laris sekali. Tidak lama kemudian, seorang anak muda, Shafie, memulakan perniagaan roti canainya. Shafie lebih berkebolehan dalam penyediaan roti canai. Sebagai anak muda, ketangkasan Shafie juga mengatasi ketangkasan Pok Ku Mat menyediakan roti canai.

Namun, kemunculan Shafie sebagai pesaing, tidak menjejaskan kelarisan roti canai Pok Ku Mat. Roti canai Pok Ku Mat masih kehabisan kurang lebih jam 8.30 pagi. Sesiapa yang lewat, sering kali berputih mata.

Pok Ku Mat tidak lagi menebar roti canai untuk penduduk Kampung Telosan sejak 2 tahun lalu. Mungkin faktor umur yang agak lanjut adalah penyebabnya.

Ramli AR